Keputusan itu dimuktamad­kan selepas pemain berusia 30 tahun berkenaan menolak tawaran jangka panjang BAM yang mahukannya kembali memperkuatkan barisan skuad badminton negara sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Biarpun tawaran ditolak di­sebabkan komitmen bersama penaja yang memerlukannya untuk bermain bersama pemain Korea Selatan, Yoo Yeon-seong selama setahun, Boon Heong menyatakan bahawa dirinya terbuka jika diperlukan pada Piala Thomas.

Boon Heong terikat untuk bergandingan bersama Yeon-seong di bawah tajaan Yonex pada tiga kejohanan iaitu Terbuka New Zealand, Terbuka Australia serta Terbuka Malaysia bermula Mei hingga Julai depan.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sudah tidak lagi mahu ‘melayan’ kehendak Boon Heong sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada barisan pemain sedia ada serta yakin dengan perancangan yang sudah ditetapkan.

“Semalam (kelmarin) adalah hari terakhir untuk Boon Heong membuat keputusan dan dia telah menolak tawaran tersebut. Kami yakin dengan perancangan kami termasuklah keputusan memasukkan jurulatih beregu, Paulus Firman ke dalam barisan kejurulatihan.

“Kami akan fokus dalam usaha memperkuatkan barisan sedia ada termasuk skuad beregu negara. Kesemua pemain akan menghadapi latihan pusat Piala Thomas dan Piala Uber dua minggu sebelum pertandingan,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Setakat ini, satu-satunya beregu lelaki negara yang dilihat mampu membantu skuad Piala Thomas ialah Tan Wee Kiong-Goh V Shem, manakala tiga lagi beregu iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dilihat tidak konsisten.