Difahamkan, Chandra yang hadir pada sesi pendengaran berhubung skandal mengatur perlawanan di Singapura hujung bulan lalu itu dilucutkan status selaku pemerhati yang mewa­kili BAM pada hari kedua perbicaraan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mene­gaskan pihaknya mempersoalkan tindakan badan induk sukan badminton dunia itu yang melucutkan status Chandra selaku pemerhati di luar waktu prosi­ding.

“Kami sedang menyiapkan surat untuk dihantar kepada BWF berhubung perkara ini, namun kami perlu membuat penelitian terhadap kandungan surat tersebut kerana ia melibatkan isu undang-undang.

“BAM mempersoalkan tindakan mereka yang melucutkan status Chandra sebagai pemerhati pada hari kedua sesi pendengaran. Mereka juga membuat keputusan itu di luar waktu prosiding dan bagi kami, ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan 100Plus di Petaling Jaya semalam.

Justeru, Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berharap BWF memberi penjelasan terhadap keputusan yang dibuat selain menegaskan, peminat badminton tanah air berhak untuk mengetahui situasi sebenar.

“Kami hanya mahu tegakkan hak kami selain meminta mereka beri penjelasan kerana isu ini diketahui umum, terutamanya peminat-peminat badminton Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini.

“Buat masa sekarang, pihak kami sedang membuat draf surat tersebut bagi memastikan ia tepat dengan undang-undang. BAM akan hantar surat itu kepada BWF dalam kadar segera,” tambah beliau.

Dua pemain profesional yang dikaitkan dengan skandal itu, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan antara 2013 hingga 2016 dan mereka berdepan penggantungan seumur hidup oleh BWF jika didapati bersalah.

Pada masa sama, Norza juga menyifatkan kenyataan Setia­usaha Agung BWF, Thomas Lund berhubung keputusan sesi pendengaran akan diumumkan dalam tempoh sebulan sebagai sesuatu yang terlalu umum dan tidak terperinci.

“Saya tahu BWF sudah buka mulut tetapi kenyataan Thomas Lund itu sama juga seperti berdiam diri kerana kenyataan beliau terlalu umum. Jika boleh, BAM mahu perkara ini diselesaikan segera bagi membolehkan kami membuat penilaian terhadap keputusan tersebut,” ujarnya.