Bagi mencapai objektif projek berkenaan, beberapa perubahan akan dilakukan termasuk dalam struktur kejurulatihan apabila Datuk Misbun Sidek bakal dilantik sebagai ketua skuad lelaki manakala Datuk Tey Seu Bock mengetuai pasukan wanita dan Chin Eei Hui membimbing pasukan campuran.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh (gambar kecil) berkata, sebaik penstrukturan itu diluluskan oleh Majlis BAM, semua jurulatih akan melaporkan diri kepada ketua masing-masing dengan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann dilantik untuk menyelia projek berkenaan.

Menurut Kenny, projek itu dilihat mampu mewujudkan sema­ngat kerjasama antara semua jurulatih dan pemain selepas mengakui ada sesetengah jurulatih ketika ini lebih gemar melakukan tugas bersendirian.

“Projek 24 diwujudkan adalah bertujuan untuk mengubah budaya serta pemikiran. Selepas ini, tidak ada lagi perbezaan antara pemain perseorangan atau beregu memandangkan mereka kini digabungkan serta berada dalam satu pasukan, sekali gus memupuk semangat berpasukan.

“Choong Hann akan dilantik sebagai supremo (ketua penyelia) kepada projek ini. Beliau akan menyelaras setiap program latihan yang dirangka. Walaupun projek ini khusus untuk Olimpik 2024, namun kita tidak abaikan persiapan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Kenny yang juga bekas Pengurus Besar BAM memberitahu, setiap jurulatih bertanggungjawab melakukan perancangan dan persiapan rapi terhadap pemain dari segi kejohanan, kecergasan, ketahanan mental selain menyediakan rekod untuk penilaian.

Pada masa sama, BAM juga tidak teragak-agak untuk melepaskan mana-mana pemain termasuk pemain senior sekiranya gagal menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melepasi penilaian berkala.

“Penilaian pertama akan bermula pada 31 Disember nanti merangkumi ranking, keputusan dalam setiap kejohanan serta tahap kecergasan setiap pemain. Pemain dan jurulatih diberikan penilaian sama. Jika mereka tidak mampu ikut ‘kereta api’ ini, silakan turun,” ujarnya lagi.