Menurut pelumba yang mewakili CCC Sprandi Polkowice (Poland) itu, penampilan pertamanya tahun ini dianggap sebagai aksi pemanas badan bagi berhadapan dengan jadual perlumbaan yang padat.

“Ini adalah tahun pertama saya sertai pasukan benua dan sudah tentu pengalaman serta kepakaran saya akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu pasukan meraih kemenangan. Saya bertuah kerana sudah menjadi juara dunia pada usia muda iaitu ketika menyertai Kejuaraan Dunia 2018 di Apeldoorn, Belanda baru-baru ini.

“Saya turut meletakkan sasaran peribadi untuk memenangi beberapa peringkat perlumbaan memandangkan saya memiliki pelumba bantuan yang boleh membantu untuk mencapai matlamat di sini,” katanya pada sidang akhbar LTdL 2018 di Langkawi, Kedah semalam.

Sebagai rekod, selain kehadiran pelumba berusia 20 tahun itu, LTdL yang memasuki edisi ke-23 turut disertai oleh juara dunia 2012, Scott Sunderland dari Australia yang mewakili pasukan SwissWellness Cycling Team.

Dalam perkembangan sama, pelumba Forca Armskins Ra­cing (FAR), Anuar Manan berpendapat pelumba tempatan masih berpeluang cerah untuk mendominasi perlumbaan kerana diwakili oleh empat pasukan.

“Kami akan bekerja antara satu sama lain untuk membantu rakan-rakan meraih podium. Saya secara peribadi juga mahu mencatatkan beberapa kemenangan atau mengulangi sejarah 2010 dengan meraih gelaran raja pecut,” katanya.

Selain FAR, tiga lagi pasukan yang telah mengesahkan penyertaan ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC) serta pasukan kebangsaan Malaysia.