Biarpun masih lagi tampil sebagai antara pencabar terkuat dalam kalangan negara-negara komanwel, barisan negara perlu berwaspada dengan ancaman dari India, England dan Singapura.

Perkara tersebut diluahkan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How yang turut mengakui berpuas hati dengan persediaan keseluruhan skuad badminton negara.

“Tidak dinafikan skuad negara kita sangat kuat terutama ada di antara mereka merupakan pemegang pingat Sukan Olimpik. Bagaimanapun, mereka tidak boleh memandang mudah tentangan hebat dari India, England dan Singapura.

“Kita juga tak boleh terlalu bergantung dengan sejarah pingat lama kita. Mereka perlu terus melakukan persediaan terbaik agar sentiasa meletakkan penanda aras yang lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, saya yakin mereka sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Saya berharap mereka akan memberikan perkhabaran positif dari sana nanti,” katanya selepas lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam..

Sebagai rekod, skuad badminton te­lah menyumbangkan sebanyak 27 pingat emas, 20 perak dan 12 gangsa dalam Sukan Komanwel kepada negara sejak penganjuran pertama pada tahun 1966.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan kesemua barisan pemain negara bagi setiap kategori telah dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Norza tidak menolak kemungkinan sekiranya ketua jurulatih kebangsaan, Tay Seu Bock masih lagi mahu mempertimbangkan di antara Goh Jin Wei atau Sonia Cheah untuk beraksi sebagai pemain perseorangan wanita.

“Kami akan cuba kekalkan prestasi sebagai penyumbang pingat terbesar. Sudah tentu emas adalah sasaran di setiap acara. Setakat ini, kesemua pemain telah dimuktamadkan kecuali perseorangan wanita,” ujarnya.