Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang mengumumkan pelantikan itu selepas  mesyuarat majlis BAM hari ini, berkata Paulus akan melapor diri kepada persatuan itu pada 1 April.

"Kami berhadapan dengan keadaan yang agak kritikal dari segi beregu lelaki selepas perpindahan Rosman (Razak) ke jabatan beregu wanita. Dalam membuat persiapan untuk menghadapi Piala Thomas, inilah calon terbaik yang kami ada sekarang," katanya.

Mohamad Norza berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Jurulatih warga Indonesia itu pernah bersama pasukan Malaysia selama 10 bulan pada 2013 sebelum  menerima tawaran untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Filipina.

Berikutan pelantikan itu, Paulus bertanggungjawab membantu Cheah Soon Kit sebagai ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan.

Soon Kit tidak menang tangan apabila BAM menaikkan pangkat jurulatih beregu kebangsaan Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu wanita bulan lepas.

Pelantikan Paulus  juga bertujuan memenuhi keperluan mendesak untuk mengukuhkan lagi pasukan beregu lelaki kebangsaan dalam menghadapi perlawanan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, pada 20-27 Mei.

Sementara itu, Mohamad Norza juga mengumumkan Soniia Cheah dipilih untuk beraksi dalam kategori perseorangan wanita pada Sukan Komanwel April ini.

Katanya pemilihan Soniia berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 24 tahun itu kebelakangan ini. - Bernama