Sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Abdul Azim mengkategorikan sukan No. 2 paling popular negara iaitu badminton sebagai salah satu acara sukan yang mempamerkan aksi buruk pada sukan terbesar Asia edisi ke-18 itu.

“Kami bahagikan pencapaian sukan pada Sukan Asia kepada tiga kategori iaitu cemerlang, memuaskan dan gagal. Program latihan bagi badminton, karate, wusyu dan silat perlu dilihat semula,” katanya pada sidang akbar mengenai prestasi kontinjen negara di Kedutaan Malaysia semalam.

Sebagai rekod, edisi ini merupakan kali pertama kem badminton negara gagal menyumbangkan sebarang pingat sejak Sukan Asia 1986 di Seoul, Korea Selatan.

Abdul Azim menjelaskan, hanya lima acara sukan menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Asia kali ini iaitu lumba basikal, skuasy, pelayaran, boling dan sepak takraw.

“Secara jujur, saya berpuas hati kerana kontinjen Malaysia berjaya memperbaiki kutipan pingat dengan 36 pingat keseluruhannya berbanding 33 pingat pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan termasuk mencapai sasaran tujuh pingat emas.

“Malah, terdapat enam rekod kebangsaan berjaya dileburkan pada Sukan Asia kali ini iaitu menerusi acara pecut berpasukan berbasikal trek, dua daripada lapangan memanah dan tiga acara renang.

“Lebih menarik, satu slot Sukan 
Olimpik menerusi sukan pelayaran juga berjaya disahkan. Cuma, kami sedikit terkilan apabila nasib tidak menyebelahi skuad hoki lelaki negara untuk meraih tiket Sukan Olimpik 2020 selepas tewas pada aksi final semalam (kelmarin),” katanya.

Meskipun berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas, harapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan saingan dalam kelompok 10 negara terbaik yang kali terakhir diraih pada edisi 2010 di Guangzhou, China masih gagal.