Kelmarin, jurulatih Vietnam, Miguel Rodrigo melahirkan rasa tidak puas hati kepada Chun Yong dengan menggesa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan hukuman kepada pengendali skuad negara.

Ia gara-gara Rodrigo mendakwa Chun Yong membenarkan anak-anak buahnya bermain secara keras sekali gus menjadi faktor kekalahan 1-2 pasukan bimbingannya dalam aksi pertama Kumpulan A Futsal AFC 2018 di Xinzhuang Gymnasium, Taiwan.

Mengulas lanjut, Azwann mene–gaskan, dakwaan Rodrigo itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana dia percaya pengendali kelahiran Sepanyol itu sebenarnya tidak dapat menerima kekalahan kepada Majestic Tigers.

“Secara peribadi, beliau (Rodrigo) perlu lebih profesional dan perkara ini kerana jika ada kekasaran berlaku, pengadil yang mengawal keputusan. Bagi kami, selagi pengadil tidak tiup wisel, kami akan terus bermain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Taiwan, semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairul Effendy Mohd. Bahrin yang lebih mesra di sapa Ayon, turut senada dengan Azwann memberitahu, skuad negara hanya menunjukkan semangat juang tinggi, bukannya mahu bermain secara kasar atau ganas se–perti didakwa Rodrigo.

Begitupun, Ayon menuntut rakan sepasukan agar lupakan kontroversi itu dengan memberikan tumpuan kepada aksi kedua Kumpulan A bertemu pasukan tuan rumah, Taiwan hari ini.

“Jika kita lihat kembali pita rakaman perlawanan itu, Vietnam memulakan provokasi dan bermain kasar, tetapi kami berjuang sahaja.

“Malah jika kami melakukan kesalahan, ada tiga pengadil di gelanggang. Mereka yang mengawal situasi dan keputusan, bukan kami atau Vietnam yang tentukannya,” katanya.