Muhammad Azroy yang bersaing dalam kategori 56 kilogram (kg) berkata, sasaran tersebut dilihat realistik berdasarkan pencapaian terkini pada temasya sukan kedua terbesar di dunia itu di Gold Coast, Australia baru-baru ini.

"Saya sudah mengumpul mata di Gold Coast, dan sekarang sedang dalam persiapan untuk menyertai Sukan Asia di Indonesia pada Ogos dan Kejuaraan Dunia di Thailand, November depan.

"Saya percaya mampu melakukan sesuatu pada dua kejohanan berprestij itu dan berpeluang mengumpul lebih banyak mata," katanya selepas menerima sumbangan hadiah wang tunai RM10,000 daripada Majlis Sukan Pahang (MSP) yang disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di sini hari ini.

Seorang lagi atlet angkat berat negara, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad yang memenangi pingat gangsa kategori 85kg pada Sukan Komanwel itu, turut menerima imbuhan RM5,000.

Muhammad Azroy, 24, berkata ganjaran yang diperoleh tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk membantu keluarga dan membuat kenduri kesyukuran atas kejayaannya itu.

Muhammad Azroy yang pertama kali beraksi di Sukan Komanwel membuat angkatan bebanan seberat 117kg dalam acara snatch sekali gus memecahkan rekod 116kg berusia lapan tahun milik Amirul Hamizan Ibrahim yang dilakukan pada edisi 2010 di New Delhi, India.

Bagi kategori clean & jerk, Muhammad Azroy yang berasal dari Sungai Puteri di sini, membuat angkatan seberat 144kg, sekali gus mengumpul angkatan keseluruhan 261kg untuk meraih pingat emas.

Angkatan bebanan 261kg itu memecahkan rekod kejohanan 260kg yang dilakukan jurulatihnya Amirul Hamizan pada 2002 di Manchester, England.
Sementara itu, Mohamad Fazrul, 23, berkata dia amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa memberi sokongan untuk beliau melakar kejayaan.

"Saya amat terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi bapa saya, Mohdad Samli, 56, dan idola saya, Amirul Hamizan.

"Ini memberi dorongan kepada saya untuk melangkah lebih jauh pada kejohanan yang akan disertai pada masa akan datang," katanya. - Bernama