Bagaimanapun pelumba berusia 19 tahun itu bersedia untuk menjadikan LTdL sebagai pengalaman berharga dalam usaha untuk meningkatkan pres­tasinya pada masa depan.

Menurut pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu, bagi memastikan dia dapat memberi saingan sengit pada perlumbaan terbesar di Asia berkenaan, dia giat menjalani latihan sejak Januari lalu di bawah kendalian jurulatih, Syed Mohd. Hussaini Syed Mazlan.

“Saya terpaksa menangguhkan dulu pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia selama sebulan bagi memberi laluan kepada latihan ke LTdL. Saya menjalani latihan lebih empat jam sehari selama seminggu dan turut memberi fokus kepada latihan pendakian.

“Memang saya akui terkejut kerana dipanggil dan berasa berdebar. Namun secara jujurnya saya yakin ini adalah peluang terbaik untuk saya menimba pengalaman serta menguji prestasi sebagai pelumba basikal,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sebagai rekod, nama Azli mula menjadi perhatian beberapa pasukan benua negara selepas dia muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan Jelajah Selangor tahun lalu.

Perlumbaan lapan peringkat bagi LTdL 2018 dijadualkan bermula dari Kangar, pada 18 Mac iaitu dua hari selepas majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi (16 Mac) dengan perlumbaan dijangka tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Sebanyak 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan Jelajah Dunia, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341 kilometer melibatkan lapan negeri di Semenanjung.

Sementara itu, Azli turut meletakkan sasaran peribadi sebagai pelumba Malaysia terbaik pada perlumbaan peringkat kelima (Bentong-Cameroon Highland, Pahang).