Biarpun memulakan sai­ngan di petak kedua, Azlan berjaya menampilkan aksi cemerlang dengan mengatasi pencabarnya dari Thailand, Thitipong Warokorn yang bermula di petak hadapan.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team tersebut berjaya memberi tekanan kepada Warokorn sebelum memintasnya ketika perlumbaan berbaki tiga pu­singan lagi untuk ditamatkan sekali gus melintasi garisan penamat dengan catatan 23 minit 21.172 saat.

“Bagi saya ini adalah permulaan yang sangat baik buat kami. Saya akui ia bukan perlumbaan yang mudah kerana keadaan cuaca yang sangat panas di Sepang memberi tekanan kepada semua pelumba.

“Pada perlumbaan tersebut, sukar untuk saya mengekalkan cengkaman tayar dan sebab itu saya hanya mengekori Warokorn. Ketika saya lihat Warokorn melakukan kesilapan apabila hampir tergelincir, saya terus ambil peluang tersebut untuk memintasnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan ini kerana bertungkus-lumus melakukan persiapan. Walaupun status kami adalah pasukan satelit namun kami masih berjaya melakukannya dengan baik. Ini satu permulaan positif untuk kami meneruskan perlumbaan pusingan kedua esok (hari ini),” katanya sejurus tamat saingan semalam.

Pelumba berusia 35 tahun itu turut mengakui gabungan kepakaran mekanik dari Jerman dan Malaysia banyak membantunya dalam menca­tat kejayaan di pusingan pertama ini.

“Saya akui prestasi jentera BMW S1000 RR sangat baik kerana kami dibantu oleh gabungan mekanik hebat dari Jerman dan Malaysia. Kami akan kumpul data hari ini (semalam) untuk persiapan esok (hari ini),” ujarnya lagi.