Malah, pelumba berusia 30 tahun itu tidak mampu untuk bangkit pada pu­singan repecharge sekali gus menyaksikan dia gagal mempertahankan jersi pelangi yang dimenangi di Hong Kong, China tahun lalu.

“Perkara ini bukan dalam perancangan kami. Saya telah berjuang habis-habisan dan memberi apa yang termampu. Bukan niat saya untuk memberikan alasan, namun keadaan cuaca yang sangat teruk disusuli jangkitan virus sejak tiba di sini telah memberi kesan kepada persembahan saya.

“Saya dapat rasakan kayuhan saya ketinggalan ke belakang berbanding semasa aksi saya pada ACC (Kejuaraan Berbasikal Asia) 2018 di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Apa pun yang berlaku, saya tetap akan berusaha untuk bangkit daripada kekalahan. Saya sudah mempunyai sasaran tersendiri dan pasti akan mencapainya tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai rekod, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan pertama sekali gus terpaksa mengharungi sai­ngan repechage yang turut gagal me­layakkan dirinya ke saingan pusingan kedua.

Pada tahun ini, juara dunia 2018 disandang oleh jaguh pecut Columbia, Fabian Hernando Puerta Zapata. Tempat kedua pula menjadi milik pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata manakala Maximi­lian Levy dari Jerman me­raih gangsa.

Justeru, pelumba kelahiran Du­ngun, Terengganu itu turut berharap pres­tasinya akan kembali pulih bagi acara pecut individu lelaki malam ini.

“Sabtu ini, saya akan beraksi dalam acara ter­akhir dan sudah tentunya saya akan menunjukkan aksi terbaik. Terus doakan kejayaan saya di sini,” ujarnya.