Kekecewaan jelas terpancar pada raut wajah bekas juara dunia keirin itu apabila gagal mengulangi pencapaian empat tahun lalu yang memenangi pingat gangsa menerusi acara sama di Glasgow, Scotland.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada anak kelahiran Dungun, Terengganu itu apabila sudah mengerah segala kudrat pada aksi tersebut, lebih-lebih lagi masih belum pulih daripada jangkitan virus yang dialami sebelum ini.

Azizulhasni berkata, tahap kesihatan kurang baik selain waktu rehat yang singkat nyata memberi kesan terhadap kayuhannya pada aksi final tersebut biarpun menampilkan prestasi terbaik dalam saingan terdahulu.

“Perlumbaan pertama dan kedua memang sempurna dari segi prestasi dan pecutan. Bagaimanapun, waktu rehat yang terlalu singkat antara aksi separuh akhir dan final menyebabkan saya tidak sempat untuk memulihkan tenaga.

“Tahap kesihatan saya turut memberi kesan terhadap prestasi pada final kerana sukar untuk bernafas, ditambah pula dengan rehat yang tidak mencukupi sebelum beraksi,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakannya mengambil risiko mempertaruhkan kesihatannya, pelumba berusia 30 tahun itu menegaskan, dia melakukannya demi negara.

Selain itu, Azizulhasni juga mengakui sedih apabila hanya mampu melihat pelumba-pelumba lain megah di atas podium, namun dia sedia untuk kembali ke prestasi terbaik serta fokus pada persiapan Sukan Asia Ogos depan.

“Saya sentiasa anggap diri saya sebagai seorang pahlawan, jadi atas sebab itu saya sanggup menggalas tugas negara walaupun dalam keadaan begini. Selepas ini, saya akan berehat dan kembali jalani latihan seperti biasa bagi mempersiapkan diri menjelang Sukan Asia nanti.

“Saya agak sedih kerana tidak mampu menjejakkan kaki ke podium tetapi saya terima takdir ini. Selain itu, ini juga bukan Sukan Komanwel terakhir saya kerana saya mahu beraksi satu edisi lagi,” tambahnya.

Pada masa sama, Azizulhasni juga mengakui terkilan tidak mampu menghadiahkan kilauan pingat kepada jurulatihnya, John Beasley yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-56 semalam.

Pingat emas acara keirin menjadi milik pelumba Australia, Matt Glaetzer sementara Lewis Olivia dari Wales meraih perak diikuti pelumba New Zealand, Edward Dawkins yang berpuas hati dengan pingat gangsa.