Lebih manis, kejayaan juara dunia keirin 2017 itu turut menyaksikan dendamnya terhadap pemenang pingat emas keirin Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit terbalas selepas pelumba muda itu menamatkan saingan final di kedudukan kelima.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman', mengakui tidak memikirkan soal membalas dendam sebaliknya hanya fokus dalam usahanya mempertingkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya turun berlumba pada kejohanan ini tanpa fokus untuk menebus kekalahan atau apa sahaja yang telah berlaku di Sukan Asia. Episod di sana (Jakarta) sudah habis.

"Biasalah dalam perlumbaan boleh ada kesilapan dan ada ketika kita tidak bernasib baik jadi semua itu sudah dinilai dan kini masa untuk perbaiki segala kelemahan tersebut dan fokus terhadap misi membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya. - Bernama