Meskipun mengakui terganggu dengan kontroversi perselisihan faham antaranya dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), namun Azizulhasni tetap positif mampu menampilkan kayuhan cemerlang dalam tiga acara yang disertai nanti.

“Motivasi saya adalah untuk membawa pulang pingat emas, saya akan ambil bahagian dalam acara keirin dan pecut (acara individu dan berpasukan). Saya harap dapat pingat emas dalam satu daripada acara individu. Kalau dapat dua itu bonus.

“Namun, saya mahu fokus dengan satu pingat emas terlebih dahulu. Pada waktu ini boleh dikatakan prestasi saya berada pada tahap terbaik. Diharapkan tiada apa-apa masalah lain, seperti gangguan daripada luar atau dalam, masalah kesihatan dan sebagai­nya,” katanya ketika ditemui pada acara ka­yuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan, Selangor semalam.

Pelumba berusia 30 tahun itu menerusi akaun Instagramnya @azizulawangofficial, baru-baru ini melahirkan rasa kecewa terhadap kenya­taan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan artikel sebuah akhbar tempatan bertajuk, ‘Azizulhasni sukar ke Olimpik 2020’ dan ‘Misi Menyelamatkan Azizulhasni’.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu sebelum ini me­raih dua pingat emas dalam acara pecut dan 
ke­irin pada Piala Trek China 2018 di Taiyuan, China Julai lalu.

Tambahnya, biarpun meraih dua pingat emas pada kejohanan berprestij itu, prestasinya belum sampai pada tahap kemuncak dan dia yakin boleh tingkatkan kelajuan ka­yuhan pada Sukan Asia nanti.

“Pada kejohanan sebelum ini, saya belum lagi peak. Selepas pulang ke Malaysia, saya fokus tingkatkan fasa kelajuan ketika latihan, nampak lebih banyak peningkatan dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.

“Saya berharap dapat berada pada tahap prestasi terbaik di sana,” kata Azizulhasni yang pernah me­rangkul pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada 2010 dalam acara keirin.

Sementara itu, hampir 2,000 peserta mengambil bahagian dalam acara Kayuhan Maju Expressway 2018 yang turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kayuhan itu turut disertai atlet berbasikal kebangsaan yang mengambil bahagian dalam acara ujian masa berpasukan 45 kilometer. – Bernama