Azizulhasni berjaya melakar sejarah menjadi juara keirin dunia pada Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong pada 12 April 2017, manakala Jun Hoong pula mencipta kejutan sebagai juara dunia dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita di Budapest, Hungary (20 Julai 2017).

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah berkenan menyampaikan kedua-dua anugerah utama tersebut sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Azizulhasni ketika ditemui mengakui terharu menerima anugerah tersebut yang disifatkannya setimpal dengan usaha yang dilakukannya sejak dia berkecimpung sebagai pelumba berbasikal lebih daripada 10 tahun.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berbangga setelah dinobatkan sebagai Olahragawan dan ini merupakan kali ketiga saya menerima anugerah terbesar negara ini.

“Anugerah ini akan menjadi sumber motivasi untuk saya beraksi lebih cemerlang pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.

“Saya berharap rakan-rakan atlet turut sama bekerja keras agar mereka juga mampu menikmati anugerah seumpama ini pada masa depan,” kata Azizulhasni ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Jun Hoong gagal memandangkan beliau tidak hadir pada majlis ASN 2017 ekoran menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) di Jepun.