Pelumba berusia 30 tahun itu, menerusi akaun Instagramnya @azizulawangofficial, melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan artikel yang ditulis seorang wartawan sukan sebuah akhbar tempatan bertajuk, 'Azizulhasni sukar ke Olimpik 2020' yang disiarkan pada 5 Ogos lalu.

Beliau berkata, beliau sedia maklum bahawa untuk perlumbaan trek, kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah berdasarkan kedudukan lapan teratas bagi pasukan pecut negara.

"Negara itu akan mendapat dua tempat bagi kedua-dua acara keirin dan pecut negara yang tidak mempunyai pasukan pecut yang kuat boleh melayakkan diri menerusi kelayakan individu di mana tujuh negara berikutnya (selain daripada lapan pasukan pecut teratas) akan mendapat satu tempat masing-masing bagi kedua-dua acara tersebut.

"Kelayakan individu (di luar kelayakan pasukan pecut) akan melayakkan mereka mendapat tujuh tempat untuk acara pecut dan tujuh tempat bagi acara keirin. Jika anda mendapat tempat bagi acara keirin, anda secara automatik juga akan mendapat tempat untuk acara pecut dan begitulah sebaliknya. - Bernama