Kemenangan tipis 1-0 ke atas Inter Milan hasil jaringan lewat pemain gantian Christian Eriksen di Stadium Wembley semalam kembali membuka jalan buat anak-anak buah Mauricio Pochettino itu meneruskan impian mereka di pentas Eropah musim ini.

Namun kejayaan mereka itu tidak hadir dengan mudah kerana dipaksa berhempas pulas untuk menembusi kubu kelab Serie A tersebut sebelum percaturan Pochettino membuktikan Spurs memiliki pemain lebih berkualiti berbanding lawan mereka itu.

“Inter datang ke sini untuk bertahan kerana mereka tahu mencuri satu mata adalah lebih bagus daripada kehilangan tiga mata.

“Kamu tidak mempu­nyai banyak peluang apabila menentang pasukan dari Itali yang mengamalkan taktik bertahan seperti mereka. Namun kami berjaya menggunakan satu-satunya peluang terbaik untuk mencapai misi mengutip tiga mata penting.

“Ia satu perlawanan yang sukar. Keadaan padang juga tidak begitu baik namun kami semakin biasa dengannya. Kami beraksi dengan baik dan segala usaha kami akhirnya berbaloi,” jelas Kane.

Selepas mengharungi musim yang hambar, Spurs kini mula mendapat rentak selepas memenangi enam perlawanan berturut-turut termasuk suntikan semangat hasil kejayaan ke atas Chelsea dan Inter menjelang pertemuan dengan musuh setempat di London, Arsenal.

Mereka enggan memikirkan pertemuan dengan Barcelona ketika ini. Bagaimanapun, ­Pochettino yang juga pengurus Spurs mengaku pasukannya akan turun di Camp Nou dengan penuh keyakinan.

“Saya mahu buktikan bahawa apa yang dilihat seperti misi mustahil sebenarnya mampu direalisasikan.

“Kami harus mencuba kerana dalam bola sepak semuanya boleh berlaku jika kamu percaya kepada diri sendiri,” jelas Pochettino. – Agensi