Dua jaringan Diego Costa dan satu daripada Saul Niguez serta Koke membolehkan Los Rojiblancos, juara bertahan Liga Europa, menewaskan pemenang tiga edisi Liga Juara-Juara berturut-turut, Real Madrid 4-2 pada aksi di Arena A. Le Coq.

Ia merupakan gelaran Piala Super Eropah ketiga buat Atletico dan trofi ketujuh secara keseluruhan dimenangi Diego Simeone sebagai ketua jurulatih pa­sukan itu sejak dilantik pada 2011.

Sehubungan itu, Cerezo percaya Simeone mampu mengemudi Atletico mara ke final Liga Juara-Juara musim ini, apatah lagi perlawanan akhir pentas berprestij Eropah itu akan diadakan di laman sendiri, Stadium Wanda Metropolitano pada 1 Jun tahun depan.

“Kami sangat gembira kerana berjaya mencapai keputusan positif dan menjulang Piala Super Eropah. Ia memberikan kami keya­kinan untuk cuba mencapai objektif besar musim ini.

“Saya sedar sasaran musim ini sangat sukar ke­rana Atletico perlu memperbaiki pencapaian mereka tahun lalu. Selain itu, Atletico juga perlu bermain di pentas final Liga Juara-Juara di hadapan penyokong-penyokong sendiri,” katanya.

Kali terakhir Atletico bermain di pentas final Liga Juara-Juara pada dua tahun lalu sewaktu tewas 3-5 kepada Real menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 di Stadium San Siro, Milan, Itali. – Agensi