Menurut jurulatih­nya, Gracie Junita Anak Terry Pega, pemilihan para atlet yang berusia 11 hingga 12 tahun itu terpaksa dilakukan kerana Perak sudah ketandusan atlet terjun berpengalaman.

“Memandangkan Perak merupakan pasukan tuan rumah, kita boleh menjalani latihan lebih awal. Tetapi kita tidak boleh mengharapkan apa-apa daripada atlet ini kerana ia merupakan Sukma pertama buat mereka. Penyertaan di sini lebih bermatlamatkan untuk menimba pengalaman.

“Bagi Sukma kali ini, Perak mungkin merupakan satu-satunya negeri yang menghantar atlet paling kecil dan muda. Jadi, memang sukar untuk mereka bersaing dengan atlet yang berpengalaman dan lebih berusia berbanding mereka.

“Selepas berakhirnya kumpulan atlet yang menyumbang pingat emas kepada kita pada Sukma terdahulu seperti Jasmine (Lai Pui Yee) dan Syafiq (Puteh), kita sudah tidak ada lagi atlet lain. Jadi, kami terpaksa menggunakan kudrat pe­nerjun baharu yang rata-ratanya hanya tahu cara terjunan asas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Akuatik Perak di sini semalam.

Sebagai rekod, sebanyak 10 pingat emas ditawarkan dalam acara terjun lelaki dan wanita. Pasukan Perak yang membariskan tujuh penerjun terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki akan beraksi dalam kesemua acara yang dipertandingkan.

Pada kejohanan sama dua tahun lalu di Sarawak, Perak berjaya meraih dua pi­ngat emas, satu perak dan satu gangsa.

Mengulas lanjut, Gracie yang juga Olim­pian negara pada Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece mengakui Selangor dan Sarawak bakal mendominasi acara terjun pada saingan kali ini.

“Atlet mereka terdiri daripada atlet kebangsaan serta sangat berpengalaman. Saya jangkakan kedua-dua negeri itu akan mendominasi acara terjun pada Sukma,” katanya.