Kedua-dua jaguh dunia itu adalah antara lima calon yang disenarai pendek oleh SAM bagi perebutan anugerah yang akan diumumkan pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017 di Petaling Jaya malam ini.

Majlis anugerah itu dijadualkan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Azizulhasni meraih tumpuan setelah kejayaan mendominasi saingan untuk bergelar juara keirin dunia dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong pada 13 April 2017.

Pelumba berusia 30 tahun dari Dungun, Terengganu yang ter­kenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2009.

Jun Hoong turut melakar sejarah tersendiri selaku atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hu­ngary pada Julai.

Lagu Negaraku berkumandang di Duna Arena selepas penerjun berusia 27 tahun dari Perak itu menghimpun 397.50 mata dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, sekali gus mengetepikan bekas juara dunia, Si Yajie dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Ren Qian, masing-masing dari China.

Perebutan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2017 kali ini sememangnya menyaksikan saingan sengit dalam kalangan juara-juara dunia termasuk atlet wusyu, Wong Wen Son yang meraih pingat emas dalam disiplin jianshu lelaki pada kejohanan Wusyu Sedunia ke-14 di Kazan, Rusia.

Calon lain yang bakal ber­saing ialah trio duilian wanita, PhoonEyin, Loh Ying Tin dan Tan Cheong Min serta skuad boling wanita yang dibarisi Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.

Anugerah Atlet Para Terbaik pula menyaksikan saingan empat penjuru antara Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly daripada sukan olahraga, Cheah Liek Hou (badminton) serta Muhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol (berbasikal trek).

Muhammad Ziyad, jaguh lontar peluru lelaki F20, mencipta pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2017 apabila meraih pi­ngat emas di samping mencipta rekod baharu dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London selepas cemerlang memegang rekod dunia pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016.

Sekembalinya dari London, dia mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa pada penampilan sulung dalam Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan seterusnya mempertahankan pingat emas Sukan Para Asean buat kali ke­empat berturut-turut.

Abdul Latif pula berjaya mem­pertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 dan memperbaharui rekod kejohanan miliknya sendiri pada kejohanan dunia yang sama.

Dia juga berjaya mempertahankan pingat emas acara lompat jauh Sukan Para Asean buat kali ketiga berturut-turut.

Jaguh perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou pula merangkul gelaran juara dunia kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) pada aksi final Kejohanan Dunia BWF-Para di Ulsan, Korea Selatan.

Gandingan Muhammad Afiq Afify bersama jurumudinya, Muhammad Khairul Adha pula adalah pemenang pingat gangsa acara pecut tandem pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Amerika Syarikat.

Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah wang berjumlah RM50,000 melalui Anugerah SAM-100PLUS kali ini.