Antara atlet kebangsaan yang tidak mencapai sasaran dan tidak menyerlah dalam dua kejohanan berprestij itu ialah atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa, atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsudin dan atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail.

Ketua Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi berkata, bagaimanapun keputusan mengenai pengguguran atlet program itu bergantung kepada persetujuan jawatankuasa yang turut dianggotai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh utama. 

"Bagi saya sasaran atlet Podium memang sangat spesifik dan mereka perlu capai pingat sama ada di Sukan Komanwel atau Sukan Asia. Sekiranya tidak berjaya dalam salah satu temasya itu, saya rasa atlet patut boleh agak langkah logik seterusnya yang akan dikenakan ke atas mereka. 

"Sasaran podium seterusnya adalah di Sukan Olimpik jadi kita tidak boleh teruskan sokongan kepada atlet yang tidak menunjukkan potensi untuk menyumbang pingat," katanya kepada media pada sidang media pasca Sukan Asia 2018 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Mesyuarat penilaian prestasi atlet Podium yang akan diadakan dalam masa terdekat itu sepatutnya telah dilakukan pada Jun namun memandangkan ada sasaran pingat yang diletakkan ke atas atlet di Sukan Asia, ia terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan penilaian menyeluruh dilaksanakan. 

Khairi berkata 147 atlet dari 23 jenis sukan telah diserap dalam Program Podium dan jumlah tersebut dijangka berkurang sebaik sahaja mesyuarat penilaian prestasi diadakan. 

Beliau turut mendedahkan sejumlah RM67 juta telah dibelanjakan untuk pembangunan atlet dalam Program Podium bagi tempoh bermula tahun 2016 sehingga Sukan Asia berakhir, bagi mencapai sasaran untuk berada dalam 10 kelompok terbaik di Sukan Komanwel dan Sukan Asia. 

"Jumlah RM67 juta itu bukan satu jumlah besar jika dibandingkan dengan peruntukan negara lain. Jumlah tersebut digunakan untuk atlet dan jurulatih, latihan dan pertandingan termasuk elaun mereka. Ia tidak termasuk khidmat-khidmat sains dan perubatan lain," katanya. 

Program Podium telah distrukturkan oleh KBS dengan ISN diberikan peranan membantu dari segi pemakanan, kemudahan latihan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka secara spesifik untuk setiap atlet atau pasukan.

Tujuan utama Program Podium ialah memastikan Malaysia mampu meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. - Bernama