Walaupun tidak dibarisi ramai atlet-atlet terbaik, namun kontinjen Malaysia tetap berupaya mencapai prestasi cemerlang dengan melepasi sasaran 35 pingat emas ditetapkan untuk menamatkan edisi ke-19 itu pada tempat ketiga keseluruhan.

Kejayaan mengutip 37 pingat emas, 43 perak dan 49 gangsa adalah pencapaian kedua terbaik Malaysia pada pentas AUG sejak muncul juara keseluruhan sewaktu edisi 2012 di Vientiane, Laos dan lebih cemerlang berbanding penganjuran di Singa­pura dua tahun lalu.

Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Profesor Datuk Dr. Hassan Awang Dahan mengakui kontinjen negara mempunyai kemampuan untuk mencapai sasaran diletakkan yang sepatutnya mampu meletakkan Malaysia pada kedudukan ketiga keseluruhan.

“Beberapa sukan yang mempunyai ba­nyak acara boleh menyumbang lebih ba­nyak pingat emas seperti renang atau olahraga yang tidak menepati sasaran mereka.

“Kami perlu mengkaji semula persiapan untuk edisi AUG seterusnya supaya dapat bersedia awal bersama-sama persatuan sukan kebangsaan agar mencapai kejayaan lebih cemerlang,” katanya.

Antara sukan yang dianggap ‘penyelamat’ kepada kontinjen Malaysia adalah renang dengan pungutan lapan pingat emas diikuti memanah (tujuh emas), wusyu (empat emas), badminton (tiga emas) dan catur (dua emas).

Sukan golf turut cemerlang dengan menghadiahkan satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa walaupun langsung tidak diletakkan sebarang sasaran sebelum bermula temasya tersebut.