Atlet Negeri Sembilan, Muhammad Amirul Arif Zarir menerima tempoh penggantungan maksimum selama empat tahun bermula 9 Ogos lalu selepas mengambil dua bahan terlarang iaitu Stanazolol dan methylexanamine.

Dua lagi atlet dari kontinjen Terengganu, Muhammad Azfar Kamaruddin dan Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri digantung lapan bulan kerana terlibat dengan pengambilan bahan jenis methylexanamine manakala Mohamad Nasir Roslan dari Pahang digantung setahun.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menjelaskan, hukuman tersebut dijatuhkan selepas kesemuanya menjalani sesi pendengaran dalaman untuk mempertahan dan membela diri.

“Keputusan ini diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan telah dibawa dalam Mesyuarat exco PABM. Atlet-atlet tersebut adalah digantung dan dilarang menyertai mana-mana aktiviti dan kejohanan selama tempoh penggantungan.

“Kesemua atlet boleh membuat rayuan kepada Presiden PABM dalam tempoh dua minggu dari tarikh terima surat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan. - K! ONLINE