Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada para pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di sini.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat ASEAN yang hari ini, para pemimpin menyokong hasrat bersama ASEAN untuk membangunkan sebuah pembidaan bersama untuk menjadi tuan tuam Piala Dunia FIFA pada 2034.

"Dalam hal ini, saya ingin mempelawa semua rakyat ASEAN untuk bersama-sama menyokong persatuan bola sepak kebangsaan anggota negara ASEAN dengan tujuan merealisasikan impian ini secara bersama," kata Prayuth, yang juga Perdana Menteri Thailand, pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berakhir hari ini.

Jepun dan Korea Selatan merupakan dua negara Asia yang pernah menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2002.

Tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika menjadi Ahli Jawatakuasa Eksekutif FIFA berkata, badan induk bola sepak dari tiga negara rantau Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menyatakan hasrat untuk bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Baginda, yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagaimanapun, tidak pasti dengan pendirian negara berhubung hal tersebut tetapi merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan tersohor empat tahun sekali itu.

Qatar akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 pada 2022. - Bernama