Skuad kendalian Unai Emery itu berjaya mempamer kebangkitan menakjubkan dengan menewaskan jiran setempat Spurs 4-2 selepas ketinggalan 0-2 pada awal permainan.

Kejayaan tersebut menyaksikan The Gunners kembali memberi saingan di tangga keempat liga dan pengurus dari Sepanyol, Emery percaya pasukannya perlu memperbaiki rekod mereka di tempat lawan sekiranya mahu meneruskan momentum cemerlang yang dimiliki ketika ini.

“Jika kami rasa prestasi kami lebih bagus ketika ini, kami perlu melakukannya sekali lagi Khamis ini. Ia satu perlawanan yang berbeza dan cabarannya lebih sukar sedikit.

“Kami beraksi di tempat lawan dan kami perlu terus meningkatkan lagi mentaliti dan pencapaian kami di luar laman sendiri.

“Kami tahu kami perlu melakukan perubahan supaya dapat menjadikan perlawanan di luar gelanggang kami lebih kompetetif. Saya rasa semua pemain sedang berusaha melakukannya dan pertemuan dengan United akan menjadi paling mencabar berbanding perlawanan lain,” kata Emery.

United pula ketika ini masih bergelut di tangga ketujuh dengan hanya mampu mengutip 22 mata dalam 14 perlawanan.

Sementara kemenangan Arsenal ke atas Spurs pula menyaksikan mereka meneruskan rekod tanpa kalah 19 perlawanan dalam semua kejohanan, sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong The Gunners bahawa mereka mampu menjuarai liga musim ini sejak kali ter­akhir pada musim 2003-04 di bawah kendalian Arsene Wenger.

“Saya percaya ada kemungkinan kami melakukannya (juara EPL), kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan,” ujarnya lagi. – Agensi