Bagaimanapun, Arif yang bergandingan dengan Nur Mohd. Azriyn Ayub perlu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan terbaik dunia bagi memboleh­kan mereka merealisasikan hasrat tersebut.

Bekas pemain BAM itu melaungkan keazaman untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun depan, namun sasaran 30 terbaik dunia tetap menjadi ke­utamaan sebelum musim ini melabuhkan tirai.

“Sasaran utama kami ketika ini adalah untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking BWF (Persekutuan Badminton Dunia). Saya sasarkan untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia sebelum musim ini berakhir.

“Memandangkan ini adalah kejohanan terakhir bagi tahun 2018, kami sedia memberikan segala-galanya kerana kami berada di tangga ke-34 dunia ketika ini. Saya yakin ia boleh dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu turut mengakui bukan mudah untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun depan kerana perlu berdepan beregu-beregu terbaik dunia, lebih-lebih lagi kelayakan ke Olimpik akan bermula pada Mei.

“Tahun depan kami perlu bekerja lebih keras kerana untuk layak ke Olimpik memerlukan ranking le­bih tinggi. Saya fikir kami perlu berada sekurang-kurangnya di ranking ke-10 dunia untuk layak ke Olim­pik secara merit.

“Saya dan Azriyn juga perlu sedar bukan mudah untuk kami lakukannya tetapi itulah halangan yang perlu ditempuh untuk menjejakkan kaki ke pentas Olimpik. Bermula Januari nanti, kami perlu bekerja keras,” ujarnya.

Mengulas kemenangan 15-21, 21-16, 21-18 ke atas beregu Korea Selatan, Bae Kwon Young-Choi Jong Woo pada pusingan pertama Korea Masters semalam, Arif mengakui ia bukan aksi sempurna kerana banyak melakukan kesilapan mudah.

“Hari ini (semalam) kami main seperti biasa tetapi terlalu banyak kesilapan mudah kerana mahu matikan perlawanan lebih awal. Sudah tentu ia akan diperbaiki sebelum sai­ngan pusingan kedua esok (hari ini),” kata Arif.