Bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu kini menggalas misi negara pada kejohanan badminton Terbuka Hyderabad sebelum menyertai kejohanan Terbuka Jepun yang lebih berprestij minggu depan.

Meskipun lama berehat daripada sebarang kejohanan susulan memberi laluan pada Sukan Asia yang berlangsung baru-baru ini, Arif menegaskan, ia langsung tidak menjadi masalah buat dia dan gan­dingannya, Nur Mohd. Azriyn Ayub mempamerkan aksi cemerlang.

Sebaliknya, pemain berusia 29 tahun itu mengakui tempoh rehat itu digunakan sebaiknya bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada, sekali gus menghasilkan persembahan lebih baik.

“Memang agak lama berehat daripada kejohanan tetapi ia membolehkan kami baiki segala kelemahan serta menggandakan sesi latihan. Apa yang penting adalah kekal cergas.

“Stamina amat penting untuk kami sekarang kerana perlu mengharungi lima kejohanan berturut-turut bermula dengan Hyderabad, Jepun, Indonesia, Korea Selatan serta Taiwan. Daripada lima kejohanan itu, saya harap mampu raih sekurang-kurangnya dua kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai sasaran pada Terbuka Jepun, Arif enggan meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan dia hanya cuba melakukan kejutan terhadap beregu-beregu yang berada di ranking lebih tinggi.

“Saya tahu bukan saingan mudah untuk kami di Jepun nanti kerana ramai pemain handalan beraksi di sana. Bagaimanapun, saya harap kami mampu lakar kejutan ke atas beregu ternama walaupun tidak letakkan sasaran tinggi,” ujarnya.

Arif-Azriyn perlu menampilkan aksi konsisten pada setiap kejohanan musim ini memandangkan mereka mele­takkan sasaran berada dalam kelompok 40 beregu terbaik dunia menjelang penghujung 2018 selain mahu merebut peluang ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.