Pemain berusia 34 tahun dari Brazil itu yang menanduk gol kemena­ngan skuad Harimau Selatan 2-1 ke atas Kedah pada perlawanan Piala Sumbangsih minggu lalu berkata, beliau gembira dapat kembali beraksi buat pertama kali selepas direhatkan selama enam bulan akibat kecederaan.

“Saya sangat gembira dapat menyumbat gol kemenangan terutamanya kerana ia berlaku selepas saya baru pulih daripada kece­deraan, apatah lagi dapat menang satu lagi piala untuk diri sendiri dan JDT.

“Saya gembira kerana semua orang tahu saya bekerja keras sepanjang enam bulan lepas sebagai persiapan menghadapi perlawanan ini dan membantu kelab meraih satu lagi kejuaraan,” katanya yang dipetik dalam satu temu bual yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers semalam.

Marcos tidak sabar untuk membantu skuad Harimau Selatan itu mencapai sasarannya dalam Liga M khususnya mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014.

Pemain berkaliber tinggi itu menikmati musim yang gemilang sejak menyertai JDT pada 2014 termasuk bergelar juara Liga Super empat musim berturut-turut, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC 2015), Piala FA (2016) dan juara Piala Malaysia tahun lepas. – Bernama