Perenang berusia 20 tahun berkenaan kini bersemangat untuk kembali menguasai kolam renang Sukma dengan sasaran mengungguli acara 400 gaya bebas, 800 gaya bebas, 200 gaya bebas dan 4x200 gaya bebas berganti-ganti.

Pelajar jurusan kejuruteraan awam Universiti Putra Malaysia tersebut terdahulu menyahut cabaran jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham untuk mencuba nasib dalam acara renang terbuka pada temasya Sukan SEA (KL2017), namun dia gagal menyerlah.

Justeru, Angela meluahkan rasa teruja untuk kembali menyertai acara kegemarannya biarpun mengakui masa untuk dirinya berlatih agak terhad memandangkan dia perlu membahagikan sedikit masa untuk pelajaran.

“Meraih gelaran Olahragawati pada temasya SUKIPT mengembalikan semula semangat saya untuk memulakan cabaran tahun ini. Selepas ini, saya menyasarkan untuk menyerlah pada Kejohanan Terbuka Malaysia pada Mei depan sebelum Sukma membuka tirai.

“Walaupun saya tidak mencapai catatan masa terbaik saya pada SUKIPT lalu tapi saya berpuas hati dengan keseluruhan prestasi yang saya pamerkan. Untuk Terbuka Malaysia, saya akan cuba memperbaharui catatan masa terbaik saya.

“Bagi penampilan terakhir pada temasya Sukma, saya berharap mampu mempertahankan empat emas. Saya akan bersedia untuk lakukan yang terbaik bagi mencapai sasaran tersebut,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Angela memiliki rekod terbaik pada temasya Sukma dengan keseluruhan 10 pingat emas, tiga perak dan satu gangsa dalam penampilannya pada tiga edisi Sukma bermula tahun 2012 sehingga 2016.

Biarpun tidak berjaya menaiki podium, Angela yang berani mencuba acara baharu pada KL2017, Ogos tahun lalu tetap menerima pujian daripada Birmingham setelah berjaya menghabiskan renangan dengan catatan masa 2:11.02.