Andik, 27, yang pernah menjadi bintang Sela­ngor sah mengisi kekosongan import bagi kuota ­ASEAN skuad Helang Merah.

Pengesahan itu dibuat menerusi laman rasmi Facebook Persa­tuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam.

Kenyataan itu memaklumkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada petang semalam telah dimaklumkan berhubung pengesahan kontrak dan pendaftaran beliau sebagai import kelima skuad Helang Merah.

Keputusan itu dibuat selepas kontrak dimeterai dan pemeriksaan perubatan Andik selesai kelmarin.

Kata kenyataan itu lagi, Kedah mengikat khidmat pemain kebangsaan Indonesia itu selama setahun dengan menyarung jersi No. 30.

“Pemain sayap lincah ini menjadi rebutan enam kelab di Liga Indonesia dan akhirnya memutuskan skuad Hijau Ku­ning sebagai destinasi perjuangan bagi musim ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah memberikan persetujuan kepada pihak pengurusan KFA dan jurulatih untuk membuat penilaian terhadap Andik.

“Penambahan seorang lagi pemain import bagi kuota ASEAN itu merupakan satu keperluan untuk memperkemaskan lagi pasukan,” katanya.

Berhubung kekalahan dua kali berturut-turut Kedah dalam saingan Liga Super musim ini, kata beliau, pasukan perlu diberi masa untuk mendapatkan rentak permainan sebenar Kedah.

“Bagi saya ini baru permulaan, kalah menang biasalah dan yang penting sebagai penyokong janganlah terlalu negatif.

“Beri masa kepada pemain dan jurulatih untuk sesuaikan diri dalam pasukan,” katanya.

Desas-desus tentang pemilihan Andik sebagai import kelima Helang Merah timbul apabila tersebar gambar Andik memakai jersi pasukan serta bergambar dengan penolong pengurus pasukan Kedah, Haris Che Mat di Facebook sejak malam kelmarin.