Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan ujian sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol B-23 itu telah dibuat kelmarin selepas ujian sampel A sewaktu Kejuaraan AFC B-23 2018 di Changshu, China disahkan positif bahan terlarang, metabolite methandienone.

Syihan, 22, dipilih untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari 2018.

Pada 6 Februari 2018, FAM menerima surat daripada AFC yang menyatakan bahawa Syihan didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Antidoping Dunia (WADA) pada sampel A yang diambil 10 Januari 2018.

Justeru, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan bahawa Syihan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Antidoping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari dalam segala aktiviti bola sepak terma­suk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi.

Wai Hong berkata, beliau berharap Syihan kekal tabah dengan situasi yang dialami selain mahu penjaga gawang Negeri Sembilan itu supaya mengambil iktibar daripada keadaan tersebut.

“Satu perkhabaran mendukacitakan buat Syihan selepas digantung oleh AFC. Syihan antara salah seorang pemain yang berpotensi dan dia kini sedang mengharungi detik sukar dalam kariernya.

“Saya bersama pihak-pihak yang lain akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya. Kita tahu Syihan sedang menanti keputusan sampel B tetapi pada masa sama, saya berharap keadaan ini akan memberikan pengajaran berguna kepadanya.

“Inilah detik yang cukup ditakuti oleh semua pemain mahupun atlet. Bukan mudah jika kita berada dalam situasi Syihan. Dia seorang pemain muda, masih memiliki masa depan dan dia harus bangkit mengatasi rintangan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Wai Hong menggesa pemain-pemain bola sepak tempatan tidak terburu-buru untuk mengambil suplemen tambahan dan perlu mendapatkan saranan daripada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu.

“Saya berharap situasi Syihan ini akan membuka mata pemain-pemain jika mahu mendapatkan suplemen tambahan. Mereka sepatutnya mendapat kebenaran atau kesahihan daripada pakar-pakar perubatan,” ujarnya.