Ali meledak satu gol yang merupakan jaringan kesembilan peribadinya pada aksi final yang berlangsung di Stadium Zayed Sports City kelmarin untuk mengatasi rekod lapan gol legenda bola sepak Iran, Ali Daei.

Jaringan menerusi sepakan gunting yang menakjubkan dilakukannya itu bukan sahaja membantu negaranya menjuarai kejohanan tersebut buat pertama kali, malah membolehkan pemain berusia 22 tahun itu dipilih Pemain Terbaik Kejohanan dan Anugerah Penja­ring Terbanyak.

Susulan itu, penyerang kelahiran Sudan itu berhasrat untuk berhijrah ke liga yang kompetitif di Eropah sebelum saingan Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Qatar.

“Secara jujur, saya akui tidak menyangka dapat menjaringkan sembilan gol tetapi rakan sepasukan ba­nyak membantu saya kerana jika tidak, saya mungkin berpuas hati dengan dua atau tiga gol sahaja.

“Apa yang pasti, kemenangan ini adalah hasil kerja keras sepasukan kerana barisan pertahanan telah bertahan dengan baik dan hanya bolos satu gol sepanjang kejohanan ini.

“Mengenai jaringannya memecahkan rekod Ali Daei pula adalah sesuatu yang luar biasa untuk dilakukan dan misi utama saya selepas ini adalah berkelana ke Eropah untuk mengembangkan lagi bakat saya.

“Ia sebagai persiapan saya secara peribadi memandang­kan negara kami akan menganjurkan Piala Dunia pada edisi 2022 nanti,” kata pemain kelahiran Sudan itu. 
– Agensi