Sebagai rekod, Alisson telah mempamerkan aksi terbaik membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara selain skuad antarabangsa Brazil juga berjaya menjulang Copa Amerika 2019 pada tahun ini.

Kini, Ederson percaya Alisson berpotensi untuk dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik Anugerah Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland pada 23 September depan.

Selain Alisson, Ederson dan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen turut menjadi calon tiga penjaga gol terbaik pada anugerah berkenaan nanti.

Kata Ederson, apa yang dipamerkan oleh Alisson bersama Liverpool dan Brazil sangat luar biasa dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dia adalah penjaga gol terbaik di dunia ketika ini.

“Secara jujur, saya akui Ter Stegen, Alisson dan saya sendiri layak untuk disenarai dalam Anugerah FIFA ini sebagai penjaga gol terbaik.

Namun, harus diakui bahawa kualiti yang dimiliki oleh Alisson lebih hebat dan saya sangat menghormatinya.

“Meskipun jurang kualiti tidak terlalu ketara, tetapi Alisson lebih konsisten dalam semua kejohanan bermula saingan EPL, Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Copa Amerika.

“Ini juga adalah kelebihan dalam skuad Brazil kerana memiliki dua penjaga gol berkualiti seperti saya dan Alisson ketika ini,” katanya. – Agensi