Sebagai rekod, pemain antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan pembukaan EPL menentang Norwich City pada 9 Ogos lalu, sekali gus dijangka berehat selama enam minggu.

Bagaimanapun, proses pemulihan yang sedang dijalani oleh Alisson menunjukkan petanda positif dan Klopp percaya cuti rehat selama dua minggu sempena jadual antarabangsa kelak akan memberi peluang kepada pemain tersebut untuk kembali cergas sepenuhnya.

“Tahap kesihatan Alisson semakin baik pada minggu ini tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu terburu-buru menurunkannya dalam skuad utama kerana kami perlu pastikan dia pulih sepenuhnya terlebih dahulu.

“Apa yang pasti, Alison cukup profesional dan dia turut memberi sokongan moral terhadap penjaga gol No. 2 kami, Adrian. Buat masa ini, saya percaya kami memiliki barisan penjaga gol terbaik dalam saingan liga ketika ini,” kata Klopp.

Mengulas lanjut, pengendali dari Jerman itu turut mengakui gembira apabila Alisson serta pemain pertahanan tengah, Virgil Van Dijk dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah di posisi masing-masing pada Majlis Undian Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

“Saya berpuas hati apabila pemain kami mula mendapat pengiktirafan terutama Van Dijk. Kami telah membayar harga yang mahal untuk menandatanganinya dan kini ia dianggap satu pembelian paling berbaloi,” katanya. 
- Agensi