Mohd. Al Jufferi yang merupakan juara dunia 2016 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) disahkan tewas kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra setelah menarik diri berbaki dua saat sebelum aksi tamat.

Tindakan itu dibuat Al Jufferi selepas mendakwa aksi final yang disaksikan ribuan penyokong tuan rumah telah dicemari keputusan berat sebelah oleh juri yang mengadili perlawanan akhir tersebut.

"Perlawanan itu saya yang menang. Ketidakadilan itu jelas berlaku dan saya tidak menyalahkan sesiapa meskipun pesilat (Komang) tetapi ia adalah masalah berpunca daripada juri.

"Ia adalah perlawanan yang tidak adil sebab itu saya keluar dari gelanggang. Sebagai Olahragawan negara, saya kecewa dan tidak boleh menerima keputusan tersebut. Saya menghormati semua pihak tetapi saya tidak boleh nak hormat juri tersebut," katanya ketika ditemui media Malaysia selepas upacara penyampaian pingat di sini hari ini. - Bernama