Hanis, 22, dan Wan Norfaiezah, 23, juga tidak menghadapi banyak kesulitan untuk mendapatkan persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan baharu selepas baru sahaja menyertai pasukan diberi gelaran Wasps itu Selasa lalu.

Kedua-dua bintang Malaysian Tigress itu tetap diberikan pe­luang bermain sama banyak de­ngan pemain-pemain Zehlendorfer yang lain walaupun terpaksa mengambil masa cepat untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan suasana pasukan baharu.

“Alhamdulillah keadaan di sini semuanya baik dan sistem permainan juga hampir sama seperti di Malaysia. Masalah komunikasi sahaja sedikit membataskan kami kerana mereka menggunakan keseluruhan bahasa Jerman dalam permainan.

“Ia tidak begitu menjadi ma­salah kerana rakan-rakan sepasukan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka tolong terjemahkan ke bahasa Inggeris setiap kali jurulatih bercakap dalam bahasa Jerman.

“Rakan-rakan sepasukan juga bercakap dengan kami menggunakan bahasa Inggeris apabila dalam padang, cuma ada beberapa istilah permainan digunakan dalam bahasa Jerman tetapi rakan-rakan sudah menjelaskannya, jadi tiada masalah.

“Tempo permainan di Jerman sangat laju, jadi jurulatih kerap melakukan penggiliran. Alhamdulillah kami dapat bermain sama banyak masa dengan pemain lain,” kata Hanis ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hanis yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 dan Wan Norfaiezah memulakan debut pertama dalam saingan 1. Bundesliga bertemu Rot-Weiss Koln kelmarin tetapi keputusan tidak memihak kepada mereka apabila tewas 0-3.

Tiga gol Koln kelmarin diperoleh menerusi jaringan Helena Wurker pada minit ke-19, Rebecca Grote (m-25) dan Liv Maria Arndt (m-36).

Dua tonggak Malaysian Tigress itu turut bermain dalam aksi seterusnya menentang Dusseldorfer HC semalam menyaksikan Zehlendorfer berjaya me­raih satu mata berharga apabila seri 1-1 terhadap pasukan yang meng­huni kelompok tiga teratas liga tersebut.

Tidak banyak impak dapat dilakukan kedua-dua pemain untuk aksi itu dengan peluang terbaik buat Hanis untuk menjaringkan gol hadir dalam suku masa kedua tetapi pergerakannya dihalang sebelum percubaan tepatnya ditepis penjaga gol Dusseldorfer pada suku terakhir.