Kemenangan tersebut menyaksikan skuad muda Harimau Malaya berjaya melangkah ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

Lebih menarik, ia juga menyaksikan dendam skuad B-23 negara akhirnya terlunas memandangkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sebelum ini tewas di tangan musuh yang sama pada peringkat suku akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China dengan keputusan 1-2.

Pada aksi malam tadi, penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safawi Rasid mengejutkan pasukan Korea Selatan dengan gol seawal minit kelima selepas penjaga gol, Song Bum-keun melakukan kesilapan mudah.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad kendalian Kim Hag Bum mula memperkemaskan jentera serangan dan memperoleh peluang terbaik tetapi gagal disudahkan oleh Hwang Ui Jo apabila rembatannya tersasar pada minit ke-17.

Pasukan Korea Selatan terus bekerja keras dengan menguasai sebahagian besar baki babak pertama dan memperoleh peluang keemasan hasil percubaan penyerang mereka yang beraksi di pentas Piala Dunia 2018, Hwang Hee Chan tetapi berjaya ditepis penjaga gol negara, Muhd. Haziq Nadzli.

Skuad negara yang enggan terus bertahan akhirnya berjaya melakukan gerakan berbahaya menerusi kelincahan Safawi dan dua lagi rakan serangannya, Syafiq Ahmad serta Akhyar Rashid tetapi berjaya dinafikan oleh Bum-keun.

Bekalan selesa yang dicari skuad muda Harimau Malaya akhirnya tiba pada masa tambahan babak pertama apabila gerakan solo Safawi berjaya mengelirukan pertahanan Korea Selatan sebelum merembat masuk gol kedua negara.

Pasukan kendalian Kim Swee tampil dengan corak bertahan pada babak kedua sehingga memaksa Korea Selatan memasukkan pemain berkelas dunia, Son Hyeung-min daripada bangku simpanan pada minit ke-57.

Kehadiran Hyeung-min yang merupakan pemain pasukan Tottenham Hotspur berjaya memberi kesukaran buat skuad muda negara yang diketuai Baddrol Bakhtiar tetapi mereka berjaya bertahan dengan baik.

Gol yang dicari-cari Korea Selatan akhirnya hadir selepas Ui Jo bijak menyudahkan hantaran Lee Hin-jyun pada minit ke-87, namun segala-galanya sudah terlewat buat pasukan gergasi Asia itu.

Skuad negara yang diletakkan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir pada temasya kali ini dijadualkan bertemu dengan Bahrain pada aksi terakhir di Stadium Wibawa Mukti, Jakarta Isnin ini.