United ketinggalan seawal minit ke-11 hasil jaringan Andros Townsend dan sekali lagi dikejutkan dengan gol Patrick van Aanholt kira-kira tiga minit selepas separuh masa kedua bermula.

Bagaimanapun, United kembali menyusun permainan dan berjaya mendapat gol pertama melalui pemain pertahanan, Chris Smalling pada minit ke-55 dan terus melancarkan serangan bertali arus untuk mendapatkan gol kedua melalui Romelu Lukaku pada minit ke-76.

United yang mengawal sebahagian besar perlawanan enggan pulang dengan satu mata dan berpuas hati dengan keputusan seri terus memberi tekanan kepada benteng pertahanan Palace sehingga berjaya meraih gol kemenangan menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang disempurnakan oleh Nemanja Matic pada masa kecederaan.

“Ia adalah satu perlawanan yang sangat menakjubkan. Ia satu perlawanan yang sukar kerana kami melakukan beberapa kesilapan.

“Separuh masa kedua kami mula mempamerkan aksi sebenar dengan sikap yang menakjubkan serta permainan yang lebih berkualiti tetapi kami masih melakukan kesilapan ketika bertahan. Saya tidak bercakap mengenai pemain pertahanan tetapi keseluruhan pasukan ini.

“Saya tidak suka apabila pemain hilang keseimbangan seperti yang berlaku pada separuh masa pertama perlawanan ini tetapi kebangkitan ini sangat luar biasa kerana kami sangat memerlukan kemenangan,” katanya.

Mourinho juga mengakui bahawa dia begitu berang menyaksikan pasukannya bolos gol kedua melalui sepakan percuma pantas dilakukan oleh Palace sebelum van Aanholt merembat bola ke gawang kerana ia sangat memalukan dan kebudak-budakan.

“Selepas gol kedua itu, saya lihat mental pemain mula berubah. Mereka tidak panik akibat ketinggalan dua gol tetapi terus berusaha untuk memburu jaringan.

“Kami juga ketinggalan ketika berdepan Chelsea sebelum bangkit tetapi ketinggalan dua gol menentang pasukan yang terdesak untuk mendapatkan mata kemudian memenangi perlawanan itu adalah suatu yang ajaib,” jelasnya. – Agensi