Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 berada di landasan tepat menjelang Grand Prix (GP) Qatar di litar sama 16 hingga 18 Mac ini.

Pada sesi ujian terakhir yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis hingga awal pagi semalam, Hafizh menunjukkan prestasi membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat ke-15 dengan catatan 1:55.273.

Bekas pelumba kategori Moto2 itu mengakui, dia sendiri terkejut dengan prestasinya di Losail, lebih-lebih lagi menerusi catatan yang dilakukan pada hari terakhir sesi ujian tersebut bersama jentera YZR-M1.

“Saya sangat gembira dengan prestasi saya di sini, lebih-lebih lagi pada hari terakhir sesi ujian pramusim. Sebenarnya, saya tidak sangka mampu lakukan catatan masa di bawah 1 minit 55 saat. Kami sentiasa bekerja keras untuk rapatkan kedudukan dengan pelumba-pelumba lain.

“Secara jujur, keputusan hari ini (semalam) sangat mengejutkan saya tetapi terima kasih kepada kru pasukan yang bekerja keras melakukan pelarasan terbaik terhadap jentera saya,” katanya menerusi kenyataan rasmi pasukan tersebut.

Pada masa sama, pelumba ber­usia 24 tahun itu turut melaungkan keyakin­an dia sudah mula serasi serta memahami jentera tersebut selain mahu memperbaiki sebarang kelemahan sebelum perlumbaan sebenar.

“Ketika melakukan simulasi perlumbaan, saya akui ada lakukan kesilapan kecil tetapi ia langsung tidak mengganggu fokus saya ketika keluar melakukan ujian, malah membuatkan saya lebih yakin.

“Selain itu, saya juga sudah mula memahami jentera dengan lebih mendalam dan ia sedikit sebanyak membantu kami untuk melakukan pelarasan menjelang perlumbaan sebenar nanti. Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi di sini,” ujarnya.

Sementara itu, rakan sepasukan Hafizh dari Perancis, Johann Zarco gah mengungguli sesi ujian pramusim terakhir itu apabila melakukan catatan 1:54.029 mengatasi juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di tempat kedua.