Penjaga gol Manchester United itu disenaraikan membarisi ke­sebelasan utama buat pertama kali dalam empat perlawanan sejak Moreno menggantikan Luis Enrique.

De Gea nyata tidak mensia-siakan peluang yang diberikan Moreno, apabila dia menampilkan aksi memberangsangkan termasuk menyelamatkan beberapa percubaan dilakukan jentera serangan Faroe Islands.

“Kami perlu bergembira dengan ketangkasan De Gea pada perlawanan hari ini (semalam), sama se­perti yang ditampilkan Kepa (Arrizabalaga) ketika menentang Romania sebelum ini. Saya gembira dengan persaingan sihat ini.

“Kami menaruh sepenuh kepercayaan terhadap David. Saya tahu prestasi semua pemain ada naik turunnya. Kali ini giliran David membuktikan dia masih memiliki kualiti sebagai seorang penjaga gol yang bagus,” kata Moreno.

Dalam pada itu, beliau juga berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditampilkan skuad kendalian­nya apabila mengekalkan rekod kemenangan dalam enam perlawanan, sekali gus menerajui saingan Kumpulan F dengan 18 mata.

“Kami mengharungi minggu yang cukup baik kerana persaingan dalam pasukan sudah ditingkatkan. Sebenarnya, bukan mudah bertemu pasukan seperti Faroe Islands kerana mereka bertahan dengan 11 pemain tetapi kami masih mampu jaringkan empat gol,” ujarnya. – Agensi