Perkara tersebut diakui oleh Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee yang melihat anak-anak buahnya mengikut seratus peratus taktikal yang dirancang hingga berjaya mengikat jaguh Asia itu dalam saingan yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Kim Swee berkata, corak permainan yang ditampilkan oleh skuad muda Harimau Malaya tidak begitu berkualiti tetapi cukup agresif untuk meraih tiga mata penting sekali gus mengesahkan slot ke pusingan kalah mati temasya sukan terbesar Asia itu sejak kali terakhir pada edisi 2010 di Guangzhou.

“Saya sangat gembira dengan perlawanan ini dan menganggap keputusan yang kami raih sangat bagus. Namun, saya akui pasukan tidak menampilkan corak permainan berkualiti tetapi apa yang penting misi pasukan tercapai.

“Saya tidak terkejut dengan keputusan ini kerana barisan pemain telah menunjukkan kerja keras dengan aksi cukup berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan.

“Mereka turut percaya dengan taktikal serta strategi yang saya aturkan dan karakter seperti ini membolehkan mereka mampu untuk menang pada perlawanan ini. Secara jujur, tempoh bertahan pada 10 minit terakhir adalah detik paling penting buat kami dalam misi meraih keputusan yang positif,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan bersejarah itu, dua gol daripada Safawi Rasid pada babak pertama sudah cukup untuk memastikan pasukan negara membalas dendam kekalahan tersingkir di tangan Korea Selatan pada peringkat suku akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 (AFC) di China, Januari lalu.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan B-23, Kim Hak-bum mengakui kesilapannya memandang rendah keupayaan skuad negara membawa padah selepas merehatkan beberapa bintang utamanya termasuk penyerang pasukan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

“Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi pada perlawanan ini. Saya mengakui silap melakukan rombakan kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada enam pemain simpanan beraksi.

“Saya lihat barisan pemain juga tidak beraksi seperti biasa dan memberi ba-nyak ruang kepada pasukan lawan khususnya apabila ketinggalan dengan jari-
ngan awal. Namun, saya tidak terlalu risau dengan keputusan ini dan perlu terus pandang ke depan dalam misi layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Skuad negara akan bertemu Bahrain dalam aksi terakhir di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang esok.