Skuad Harimau Selatan mengesahkan gelaran itu lebih awal selepas menundukkan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam kelmarin, sekali gus menerajui takhta liga dengan mengumpul 46 mata, mengatasi pencabar terdekat, Pahang dengan 16 mata ketika saingan musim ini berbaki empat lagi perlawanan.

Aidil yang menyertai pasukan dari Selatan tanah air itu sejak tahun 2013 menyifatkan, gelaran yang dirangkul JDT kelmarin adalah hasil usaha keras dan kegigihan seluruh pemain serta pengurusan pasukan selepas segala perancangan yang diatur sejak pramusim berjalan dengan lancar.

“Kita mahu mencari piala untuk JDT secara berterusan selepas ini. Usaha kami tidak akan terhenti, namun kami juga tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dicapai kerana masih ada baki beberapa perlawanan yang kami perlu fokus.

“Insya-Allah, kami mahu mencatat lagi sejarah untuk pasukan ini dan tidak mahu tewas selepas ini.Sejak tahun pertama menyertai JDT saya memang berhasrat untuk membantu mendapatkan piala, tetapi tidak menyangka saya mampu membantu pasukan ini memenanginya enam kali berturut-turut,” kata Aidil kelmarin.

Pada aksi kelmarin, skuad Harimau Selatan memperoleh gol pertama menerusi Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-7 sebelum penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo menggandakan jaringan pada minit ke-27.

Melaka United cuba bangkit menjelang lewat perlawanan dengan berjaya merapatkan jaringan menerusi sepakan Shukor Adan pada minit ke-84, namun ia sudah terlambat untuk menyekat kemaraan JDT mengutip tiga mata serta meraikan kejayaan menjulang gelaran liga dengan lebih awal.

Dalam pada itu Aidil berkata, selagi khidmatnya masih diperlukan dalam pasukan itu, dia bertekad untuk terus menghadiahkan lebih banyak kejayaan kepada rakyat Johor terutamanya pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.