Ahmad Fafzil dan rakan sepasukannya, arwah Muhammad Zubir Zainal Abidin bercita-cita untuk menyertai Ironman pada 2009, namun impian tersebut tertangguh selepas rakannya itu ditemui lemas.

Selepas 10 tahun insiden tersebut berlalu, pesara kerajaan itu bertekad untuk menamatkan saingan Ironman Langkawi 2017 meskipun terpaksa mengambil lebih 12 jam untuk melepasi garisan penamat.

"Memang kami berdua merancang untuk menyertai saingan Ironman 2009 tetapi perlu menamatkan saingan pada Kejohanan Triathlon di Pork Dickson 2007. Namun, dia didapati lemas semasa melakukan disiplin renang dan sejak itu hasrat kami tertangguh.

"Kini 10 tahun sudah berlalu dan saya dapat rasakan arwah mahu saya teruskan impian kami. Jadi, kali ini saya bertekad untuk menyertainya meskipun berseorangan.

"Jika saya berjaya menamatkan saingan tepat pada masa yang ditetapkan, saya dedikasikan kejayaan ini kepada arwah. Meskipun sukar tetapi saya yakin mampu melakukannya," katanya kepada pemberita di Pusat Pame­ran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Fafzil mengakui, dia tetap berasa gementar terutama melibatkan disiplin renang sejauh 3.8km (kilometer), namun bapa kepada lima anak itu yakin dia mampu mengatasi pera­saan gugup itu.

"Saya akui disiplin renang merupakan perkara menakutkan, namun 10 tahun sudah berlalu dan saya yakin mampu me­lakukan dengan baik," ujarnya.

Kejohanan Ironman akan melibatkan tiga disiplin utama dan peserta akan dilepaskan seawal pukul 7.00 pagi iaitu berenang sejauh 3.8km di Pantai Kok, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km.