Ahmad Muaz, 26, yang mendedikasikan kemenangan itu kepada ayahnya, Mohd Fisol Azizan sempena hari kelahiran ke-56 pada Jumaat - meraih kejayaan itu selepas menang ke atas Sam Cooley dari Australia, 219-193 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes di sini. 

Terdahulu, Ahmad Muaz tewas dengan 214-233 jatuhan pin kepada Cooley pada cubaan pertama saingan step-ladder namun selaku pendahulu pusingan kedua final terbuka lelaki, beliau mendapat peluang satu lagi perlawanan. 

"Ini merupakan kemenangan paling bermakna bagi saya, menang di Malaysia. Saya bangga kerana telah harumkan nama negara. Memang pada cubaan pertama saya gagal tapi selepas itu saya cuba bertenang dan akhirnya ia membuahkan kejayaan. 

"Memberi kelegaan bila saya ada satu lagi peluang jika saya kalah perlawanan pertama. Jadi masa perlawanan kedua, saya buat sebaik mungkin untuk pastikan saya menang," katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah acara berkenaan. - Bernama