Menerusi satu perjumpaan khas wakil pasukan negeri dan kelab bersama Pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam, mereka mendapat gambaran lebih jelas mengenai segala isu yang dibangkitkan.

Penolong Pengurus Terengganu FC I, Zul Fadli Rozi berkata, pertemuan itu adalah platform terbaik untuk semua pasukan yang juga pemegang taruh MFL menyuarakan segala pandangan demi kebaikan bersama.

“Saya percaya pertemuan ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan MFL dan ahli gabungan, tapi kita boleh bertanyakan sesuatu secara terus dan jawapan yang diberikan secara langsung oleh Pengerusi MFL sendiri.

“Ia memberi nafas baru kepada ahli gabungan untuk berani menyuarakan pandangan dan akhirnya akan memberi impak yang positif kepada bola sepak negara,” katanya yang hadir dalam pertemuan tersebut.

Beliau yang juga Exco Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, semua pasukan perlu bergerak seiring bersama MFL dan terus memberi sokongan padu kepada pembaharuan yang ingin dibawa Tunku Ismail sejak dilantik Mac tahun lalu.

“Buat masa sekarang saya tidak fikir ada orang lain boleh menerajui MFL dengan apa yang TMJ lakukan setakat ini, saya rasa kalau betul ada pengganti beliau, ia memerlukan KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) cukup tinggi, kami dari Terengganu yakin dengan kewibawaan Tengku Ismail.

“Kita tahu mungkin ada lagi kelemahan dalam liga kita tapi kita perlu memperbaiki bersama-sama dan ia memerlukan masa,” jelasnya.

Liga M setakat ini memperlihatkan perkembangan positif dari segi kelancaran perlawanan liga, peningkatan hak penajaan serta jumlah tayangan siaran langsung menerusi medium baru dalam talian. - K! ONLINE