Percaturan pelumba berumur 16 tahun itu menjarakkan diri dari peloton bersama tujuh
pelumba lain seawal kilometer ke-30 berkesudahan dengan jersi merah Yayasan CIMB menjadi miliknya manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dihuni rakan sepasukan, Muhammad Haizam dan Muhammad Hakimi Ajis dari pasukan Selangor. 

“Setelah ‘neutral start’ tamat, ramai pelumba melakukan henjutan untuk memisahkan diri 
dari peloton tetapi tidak berjaya. Saya bersama tujuh pelumba lain berjaya membuat 
pemisahan sehingga 1 minit 40 saat di hadapan peloton. 

"Namun, perlumbaan ini tak semudah yang disangka, peloton semakin merapatkan kedudukan kepada 58 saat sahaja ketika perlumbaan berbaki lebih kurang 10 kilometer.

“Alhamdulillah, kami berupaya menjarakkan semula jarak kepada 1 minit 7 saat dan seterusnya saya berjaya menamatkan saingan di tempat pertama dalam kalangan sekelompok pelumba menuju ke garisan penamat. Kejayaan ini menjadi pendorong buat saya dan pasukan bagi mengharungi perlumbaan peringkat kedua esok,” tambahnya yang baru sahaja memenangi Kriterium De Draai, Belanda baru-baru ini.

Selain meraih kemenangan di peringkat pertama, Afiq Iskandar juga dinobatkan sebagai 
pemenang jersi hijau setelah memenangi zon pecutan dalam laluan perlumbaan sejauh 
78.4km dari Kompleks Sukan Seremban 2 hingga ke Bandar Sri Sendayan itu.

Disertai 54 pelumba dari sepuluh pasukan negeri dan satu pasukan pembangunan remaja 
Singapura, para pelumba mempunyai baki dua peringkat perlumbaan bagi melengkapkan 
jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 241.1km.

Peringkat kedua akan berlangsung esok bermula dari Dataran Senawang ke Bandar Sri 
Sendayan melibatkan jarak 133.5km disusuli dengan peringkat ketiga menerusi acara 
kriterium di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan pada Ahad.

Para pelumba akan berentap selama dua hari lagi bagi merebut gelaran Raja Pecut (jersi 
hijau), Raja Bukit (jersi merah polka dot), juara peringkat (jersi merah) dan juara keseluruhan
(jersi biru) tajaan Pro Apparel. - K! ONLINE