Pada sesi ujian di Litar Jerez yang bermula pada 6 Mac lalu, Adam dilihat tidak berpeluang untuk mencatatkan keputusan terbaik pada sesi pertama apabila saingan tersebut berlangsung dalam kea­daan hujan dan berangin.

Adam yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing bagaimanapun tidak meletakkan rasa kesal, malah akui semakin selesa dengan prestasi jentera sekali gus meletakkan fokus pada perlumbaan sebenar pada perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar pada 18 Mac ini.

“Saya akui tidak berasa gembira dengan ujian terakhir pramusim ini kerana keadaan cuaca yang tak menentu menyukarkan kami untuk beraksi dengan lebih baik. Tetapi pada hari kedua kami dapat melakukan tunggangan yang lebih positif.

“Secara keseluruhan saya agak berpuas hati dengan prestasi jentera ketika ini. Meskipun catatan rekod tidak berapa baik tetapi saya gembira kerana kami mendapat pelarasan yang cukup sempurna.

“Saya lebih yakin untuk beraksi pada perlumbaan pembuka tirai di Litar Losail,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pasukan Petronas Sprinta Ra­cing enggan mengambil risiko pada sesi terakhir di Jerez dan terpaksa membatalkan penyertaan kedua-dua pelumba mereka iaitu Adam dan Ayumu Sasaki.

Secara keseluruhan, Adam berada di kedudukan ke-24 selepas merekodkan ujian masa terpantas 1 minit 47.639 saat (s), Sasaki pula menduduki tangga ke-11 (1’46.973s).

Pada kelas Moto2 pula, pelumba SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin yang kembali ke saingan MotoGP menamatkan saingan di kedudukan ke-28 daripada 30 pelumba dengan catatan (1’44.476s).

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) yang baru pulih daripada pembedahan tangan dilihat masih bekerja keras tetapi berjaya merekodkan ujian masa terpantas 1 minit 43.428s