Presidennya, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, jika atlet negara mampu merangkul pingat, ia bermakna Malaysia wajar mempertimbangkan untuk menghantar pelumba pada saingan Sukan SEA 2019 di Filipina November depan.

Selain itu, beliau turut berharap penganjuran sukan itu di Malaysia mampu menarik minat lebih ramai atlet muda selain mempromosikan sukan yang turut dipertandingkan pada Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Sekiranya atlet kita me­raih keputusan membanggakan, saya berharap ia akan membuka mata pihak berkaitan untuk memberi pe­luang kepada atlet BMX negara menyertai Sukan SEA 2019.

“Kejohanan itu akan disertai Jepun, Thailand serta beberapa lagi pasukan gergasi BMX kerana ia adalah salah satu pentas untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Sebagai rekod, Malaysia bakal menyertai empat kategori dalam acara supercross iaitu lelaki dan wanita remaja serta lelaki dan wanita elit.

Bagi skuad lelaki elit, empat pelumba terdiri daripada Ahmad Syazrin Awang Ilah, Ammar Azahar Anuar, Zulfikri Zulkifli dan Muhammad Nazrul Zakaria manakala Siti Shahirah Hashim dan Siti Natasha Mohd. Basri dipilih mewakili acara elit wanita.

Malaysia meletakkan sasaran ke final dalam tiga kategori perlumbaan iaitu wanita elit, lelaki dan wanita junior.

Antara negara yang dijangkakan menguasai perlumbaan tersebut ialah Jepun, China, Indonesia, Filipina dan Thailand.