Banyak kejutan yang berlaku sepanjang lima hari ia dianjurkan terutamanya terhadap persembahan pelumba remaja di negara Asia yang bakal menjadi pelumba elit dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Pasukan Jepun, Korea Selatan dan China turun sebagai kuasa besar acara berbasikal trek pada kejohanan yang memasuki edisi ke-38 itu sambil turut mengambil peluang mempamerkan reputasi dan bakat pelumba remaja mereka.

Bagaimanapun sebaik sahaja perlumbaan dilangsungkan, India yang dianggap sebagai pasukan underdog, telah mencuri tumpuan para penonton apabila ‘ubi muda’ mereka telah menggondol tiga pi­ngat emas pada acara tumpuan iaitu keirin, pecut individu serta pecut berpasukan.

Kini pelumba remaja India iaitu Esow Alban yang meraih emas hatrik dalam tiga acara berkenaan dijangka menjadi pencabar utama Asia atau mungkin dunia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

Selain India, pasukan remaja Thailand juga semakin mengorak langkah sejak berada di bawah kendalian legenda berbasikal negara, Josiah Ng apabila turut meraih satu emas menerusi Wachirawt Saenkhamwong pada acara 1 kilometer (km) ujian masa individu lelaki junior.

Skuad remaja negara pula dilihat masih berada pada landasan terbaik untuk meneruskan legasi pelumba senior mereka suatu hari nanti. Ini kerana, sepanjang lima hari kejohanan, mereka berjaya me­raih satu emas, dua perak dan dua gangsa yang mana semuanya disumbangkan oleh pelumba lelaki.

Menurut pemenang pingat emas tunggal remaja negara, Zulhelmi Zainal yang mengungguli acara kejar-mengejar lelaki remaja 3km, dia turut terkejut de­ngan ­prestasi pasukan remaja India yang mampu menumbangkan pasukan gergasi seperti Korea Selatan dan Jepun.

“Saya amat teruja dengan kebangkitan India. Saya tidak sangka mereka dapat membangunkan sukan berbasikal pada tahap yang lebih tinggi.

“Kita perlu berhati-hati, namun pada masa sama perlu mengkaji bagaimana sukan berbasikal di India boleh berkembang dengan pantas,” jelasnya.

Juara keirin dunia, Azizulhasni Awang berpendapat kebangkitan India pada saingan kali ini bakal menjadikan ACC sebagai satu perlumbaan yang lebih kompetitif pada masa hadapan.

“Bagi pelumba remaja Thailand saya tidak terkejut sangat kerana saya tahu mereka dibimbing oleh jurulatih yang hebat (Josiah Ng).

“India saya sangat teruja melihat perkembangan mereka terutama pelumba remaja. Saya yakin selepas melihat peningkatan ini, semua negara Asia akan turut berusaha keras membangunkan bakat pelumba remaja mereka. Dengan cara ini, sukan berbasikal trek di Asia akan menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Secara keseluruhan, prestasi pelumba elit negara boleh dianggap baik walaupun juara keirin dunia, Azizulhasni gagal menghadiahkan pingat emas di laman sendiri.

Seperti yang diberitahu oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk skuad elit negara kerana fokus utama lebih terarah kepada Sukan Komanwel, Sukan Asia serta Kejuaraan Berbasikal Dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy ­Jamaluddin Abu Bakar turut ber­puas hati dengan prestasi semasa para pelumba,­ namun pada masa sama berharap prestasi­ tersebut dapat diperbaiki pada saingan akan datang.

“Saya puas hati dengan prestasi atlet negara. Saya dapati kita telah menepati sasaran yang ditetapkan, namun demi­kian kita perlu perbaiki prestasi ini dari semasa ke semasa kerana saingan sema­kin sengit berikutan kewujudan peningkatan dari pelumba remaja India, China dan sebagainya.

“Seperti Azizulhasni kita perlu tengok apa keutamaannya. Jadi tahun ini kejohanan utamanya ialah Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Asia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presidan PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pelumba negara yang tampil lebih positif berbanding pada edisi tahun lalu.

Namun pada masa sama, Abu Samah menyeru supaya pelumba elit negara dapat menjadikan juara dunia 2013, Lee Wai Sze dari Hong Kong sebagai contoh di atas kemampuannya beraksi secara konsisten dalam setiap acara atau kejohanan yang disertai.

Sebagai rekod pelumba berusia 31 tahun itu berjaya mempamerkan reputasi­nya sebagai juara dunia dengan menggondol tiga emas masing-masing dalam acara pecut individu wanita, 500 meter ujian masa individu wanita serta keirin.

Pasukan elit negara berjaya meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa pada ACC kali ini iaitu mengatasi pencapaian satu emas dan satu gangsa yang dilakarkan pada kejohanan sama di India tahun lalu.